FEBRUARI 2022

Taiyo Yuden Labur RM4.1 Bilion


KUCHING: Syarikat antarabangsa berasaskan teknologi, Taiyo Yuden (Sarawak) Sdn Bhd merancang melabur RM4.1 bilion untuk mengembangkan perusahaannya di Estet Perindustrian Sama Jaya di sini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, syarikat terbabit akan membangunkan kawasan seluas 28 hektar (70 ekar) di Sama Jaya yang diperuntuk kerajaan negeri bagi mengembangkan perusahaan itu.

Kerja-kerja pembinaan bagi fasa satu syarikat itu bermula tahun lalu dan dijangka siap pada 2023, katanya.

Awang Tengah berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Taiyo Yuden (Sarawak) Sdn Bhd, Yoshio Akimoto yang akan berpindah tugas di pejabatnya, baru-baru ini.

Yoshio akan meninggalkan Sarawak untuk menjawat jawatan Pengarah Urusan Taiyo Yuden (Changzhou) China. Pengarah Urusan dan CEO Taiyo Yuden (Sarawak) Sdn Bhd yang baharu, Masashi Toyama turut bersama dalam kunjungan itu.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan berkata, syarikat terbabit dijangka mengambil 2,000 pekerja tambahan pada 2023 bagi operasi fasa pertama itu. Setakat ini, Taiyo Yuden mengambil 5,300 pekerja dengan 98 peratus daripadanya anak tempatan.

Awang Tengah kemudian menzahirkan terima kasih kepada Taiyo Yuden yang beropasi di Sama Jaya sejak 1996  dan melabur kerana yakin terhadap pucuk kepimpinan negeri.

Beliau memberi jaminan kepada syarikat itu bahawa kerajaan akan memberi bantuan yang diperlukan bagi melancarkan rancangan itu.

Dalam pada itu, Awang Tengah juga menzahirkan kasih kepada Akimoto atas kerjasama erat dan sokongannya kepada Yaiyo Yuden dalam mengembangkan perusahaannya di Sama Jaya.

Hadir sama Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Malcom Mussen Lamoh, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian, Dzulkornain Masron dan Pegawai Khas Kementerian, Datu Liaw Soon Eng.

Sumber dari : Jiwa Bakti